Dipetik dan diterjemahkan dari tulisan Khalid Baig, hasil nukilan Hazrat Maulana Ashraf Ali Thanwi (rahmatullah alayh) Albalagh.net
Apa itu tasawwuf? “Barangsiapa yang membersihkan hatinya adalah kejayaan baginya dan barangsiapa yang merosakkan hatinya adalah kerugian baginya.” Berapa banyak orang yang tidak memahami akan hakikat tasawwuf. Berapa banyak pula orang yang menyangkakan bahawa tasawwuf terkeluar dari AlQuran dan Sunnah. Para ahli sufi yang jahil, dan juga para ulama yang cetek ilmu, walaupun di atas garis yang berbeza, bersama-sama mendokong pengertian yang salah. Akibatnya, golongan pertama telah membelakangkan AlQuran dan Hadith, manakala golongan kedua telah membelakangkan tasawwuf.
Sebenarnya, walaupun istilah “tasawwuf”, seperti mana istilah-istilah agama yang lain, timbul kemudian, namun ianya adalah jelas salah satu bidang syariah. Bidang syariah yang menyentuh hal-hal mengenai amalan zahiriah seperti solat dan zakat dikenali sebagai bidang feqah, manakala bidang syariah yang menyentuh hal-hal batiniah dan mengenai hati dikenali sebagai tasawwuf. Kedua-duanya adalah perintah Allah dalam AlQuran. Dengan itu, sebagaimana jelasnya perintah Allah Ta’ala mengenai solat dan zakat, AlQuran juga menjelaskan perintah kesyukuran dan kecintaan terhadap Allah Ta’ala, juga menjauhi riya dan takabur serta keangkuhan dan kesombongan. Begitu juga, di dalam kitab-kitab hadith, bersama-sama tajuk mengenai Ibadat, jualbeli dan perniagaan, nikah dan talaq, juga kita dapati juga tajuk-tajuk mengenai riya’, takabur, akhlak dsbnya. Perintah-perintah Allah Ta’ala ini adalah sama pentingnya dengan kepentingan seseorang itu menjaga amalan zahiriah.Penelitian yang mendalam menunjukkan bahawa segala amalan zahiriah adalah berkait rapat dengan pembaikian hati. Ini adalah punca kepada kejayaan di akhirat manakala pengabaian terhadapnya menjadi punca kepada kemusnahan.
Inilah maksud dari istilah yang dikenali sebagai tasawwuf. Tumpuannya adalah “tahzeebe akhlaq” atau akhlaq yang terpuji; motifnya adalah untuk menyukakan Allah Ta’ala; manakala caranya adalah dengan mematuhi segala perintah Allah dengan mengikuti cara yang disyariatkan kepada Rasulullah (sallalaahu alayhi wasalam).
Tasawwuf adalah roh Islam. Peranannya adalah untuk membersihkan hati dari sifat-sifat buruk dan tercela seperti hawa nafsu yang tidak terkawal, kegelinciran lidah, marah, hasad dengki, cinta dunia, cinta kemasyhuran, bakhil, tamak haloba, bermegah-megah, angkuh, dsbnya. Pada masa yang sama, ianya bertujuan untuk menghiasi hati dan dalaman dengan sifat-sifat terpuji seperti penyesalan dan taubat, ketabahan, kesyukuran, taqwa kepada Allah Ta’ala, pengharapan, ketahanan jiwa, tauheed, amanah, ikhlas, benar, dsbnya.Untuk mengenal pasti sesuatu penyakit dan cara merawati penyakit hati biasanya memerlukan bantuan dan dorongan dari seorang guru yang mursyid atau Syakh.
Berikut ini dipaparkan kualiti-kualiti seorang guru yang mursyid:
1.Beliau memiliki ilmu agama yang mendalam.
2.Aqidah dan kepercayaannya, kelakuannya serta amalannya adalah mengikuti syariah yang dibawa oleh Rasulullah (sallalaahu alayhi wasalam).
3.Beliau tidak mempunyai sedikit pun rasa kecintaan kepada hartabenda dunia.
4.Beliau sendiri telah meluangkan masa belajar dengan guru yang murysid.
5.Para ulama' fuqaha' dan para mursyid yang benar yang seangkatan dengan beliau memberikan anggapan yang baik terhadap beliau.
6.Para pemuja beliau adalah dari kalangan orang-orang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam agama.
7.Rata-rata pengikut beliau mentaati syariah yang dibawa oleh Rasulullah (sallalaahu alayhi wasalam) serta bukan ahli cinta dunia.
8.Beliau sungguh-sungguh dan ikhlas dalam mengajar dan melatih secara moral pengikut-pengikut beliau. Jika beliau dapati sesuatu yang salah, maka beliau perbetulkan.
9.Apabila bersam-sama dengan beliau, kecintaan seseorang itu kepada dunia berkurangan dan kecintaan kepada Allah Ta’ala bertambah.
10.Beliau sendiri beristiqomah dalam mengerjakan zikir dan latihan-latihan rohani.
Dalam mencari seorang yang mursyid atau Syeikh, jangan sesekali melihat kepada kebolehannya melakukan karamat ataupun kebolehannya memperkatakan sesuatu perkara yang belum berlaku. Seorang mursyid atau Shaykh yang baik mungkin tiada sebarang karamat pada dirinya. Sebaliknya, seseorang yang menunjukkan “kekeramatan” bukan bererti dinya seorang yang soleh, atau boleh jadi saja orang itu bukan pun seorang Muslim. Seorang ahli sufi yang mashyur, Bayazid Bistami berkata: “Janganlah kamu terpedaya jika kamu lihat seorang yang boleh melakukan sesuatu yang luarbiasa terbang di udara. Berilah pertimbangan terhadapnya mengikut garis ukuran Shariah.”
Apabila kamu telah mengenalpasti seorang Sheykh yang mursyid dan kamu telah benar-benar yakin yang beliau berkemampuan memberkan kamu bimbingan rohani, maka bolehlah kamu berbai’ah dengannya. Ianya adalah persetujuan dua-hala; Shaykh tersebut berikrar untuk membimbing kamu ke arah Shariah, dan kamu berikrar untuk mematuhinya. Seterusnya, Shaykh tersebut akan memberikan arahan-arahan awal kepada muridnya. Arahan-arahan ini termasuk:
1.Bertaubat dengan sebenar-benarnya terhadap dosa-dosa yang lalu dan berusaha untuk melakukan pembaikian diri, contohnya, jika ada solat-solat yang ditinggalkan di masa lalu, usahakan untuk mengqadha solat-solat tersebut.
2.Jika kamu ada berhutang dengan seseorang, usahakan untuk melunaskannya.
3.Jaga mata (penglihatan), telinga (pendengaran) dan lidah (percakapan).
4.Lakukan zikir dengan istiqomah.
5.Mulakan muhasabah diri setaip malam sebelum tidur. Renungkan apa amalan-amalan yang telah kamu lakukan sepanjang hari itu. Bertaubat terhadap amalan-amalan buruk dan bersyukur kepada Allah Ta’ala atas amalan-amalan baik.
6.Lakukan “muraqabah maut” (renungan atas kematian) setiap malam sebelum tidur. Gambarkan yang kamu telah mati. Renungkan tentang kesakitan sakaratul-maut, soalan-soalan kubur, keadaan di Padang Mahsyar, penghisaban di Mahkamah Allah, dsbnya. Ini akan membantu melembutkan hati dan menghindari dari perbuatan-perbuatan dosa.
7.Usahakan atas kerendahan diri. Walaupun kamu lihat seseorang melakukan seburuk-buruk maksiat, jangan mengeji atau menghina dia, ataupun jangan anggap kamu lebih mulia dari dia. Kemungkinan besar dia akan benar-benar bertaubat manakala orang yang mengeji dan menghinanya pula menjadi hamba nafsu dan syaitan. Tidak ada seorang pun yang boleh memberikan jaminan ke atas keadaan akhir hayat seseorang itu. Jadi, seseorang tidak boleh bersangka buruk terhadap orang lain.
Maksud sebenar “tahzeebe akhlaq” (akhlaq yang terpuji) adalah untuk membawa sifat-sifat asas pada diri manusia dalam keadaan seimbang.
Sifat-sifat asas tersebut adalah kemarahan, keinginan, dan kepintaran.
Kemarahan: Apabila ianya seimbang, natijahnya adalah keberanian, keteguhan, daya tahan perasaan marah, dan bermaruah. Apabila ianya berlebihan, natijahnya adalah sifat terburu-buru, sombong, bongkak, megah, perasaan marah yang tak terkawal, dan angkuh. Apabila ianya kekurangan, natijahnya adalah penakut, dayus dan perasaan hina diri.
Keinginan: Apabila ianya seimbang, natijahnya adalah kesucian, pemurah, kesopanan, kesabaran dan rasa cukup (berpuas hati). Apabila ianya berlebihan, natijahnya adalah tamak dan hawa nafsu yang tidak terkawal. Apabila ianya kekurangan, natijahnya adalah fikiran sempit, lemah dan tidak berupaya.
Kepintaran: Apabila ianya seimbang, menjadikan seseorang itu bijaksana, cerdas, dan kefahaman yang mendalam. Apabila ianya berlebihan, natijahnya adalah putar belit dan penipuan. Apabila ianya kekurangan, natijahnya adalah kejahilan dan kebodohan yang menjerumuskan seseorang itu dalam kesesatan.
Seseorang itu adalah dikatakan mempunyai akhlaq yang terpuji hanya apabila sifat-sifat asas pada diri manusia itu berada dalam keadaan keseimbangan.
Akhlaq yang sempurna hanyalah ada pada diri Rasulullah (sallalaahu alayhi wasalam). Kecantikan zahiriah adalah berbeza-beza pada diri manusia seperti mana kecantikan bathiniah. Akhlaq yang terpuji akan ada pada diri kita apabila iannya menghampiri akhlaq Rasulullah (sallalaahu alayhi wasalam).
salam alayk haji.
ReplyDeletesyukran jazilan. walaupun ada beberapa ana tak faham dan masih teliti beberapa ayat dalam artikel n..tapi..amat menarik bagi hati ana. syukran jazilan.
wa'alaykumusalam.
ReplyDeletesaya pun belum faham andungan artikel ini. pada hakikatnya, hanya orang yang berusaha sungguh-sungguh dan merasainya sendiri akan lebih memahaminya...